Majlis Ramah Mesra Kasiban's Family


Saturday, December 18, 2010

Sejarah Ringkas Sebab Penubuhan Kelab Kasiban’s Family





Rasululah s.a.w pernah bersabda: Satu perkara yang mana apabila kamu lakukan perkara iti ia akan dapat menambahkan usia kamu.... lalu para sahabat bertanya: apakah perkara itu ya Rasululah? Nabi bersabda: Engkau sambungkan perhubungan silaturrahim (kaum kerabat) yang sudah putus.


Sejarah

Allahyarham Kasiban bin Haji Idris bin Mohamad Taib bin Hassan  merupakan seorang yang berdarah campuran Bugis dan Jawa. Beliau berhijrah dari kepulauan Indonesia yang terletak di salah satu daerah yang dinamakan DEMAK. Demak adalah sebuah daerah yang dipelopori oleh orang yang berjiwa Ulamak, Ahli Sufi, Pejuang Agama. Kebanyakan penduduk yang tinggal dikawasan ini semuanya dididik dengan pelajaran agama sehinggakan mampu melahirkan ramai daripadanya kalangan mereka yang bertaraf Ulamak, Pak Kiyai dan guru-guru agama, dikawasan ini juga terdapat golongan seni mempertahankan diri. Di daerah ini juga lahirnya para pejuang Islam seperti Sunan Kali Jogo yang selalu disebut atau popular dikalangan Wali Songo.

Apa yang saya difahamkan dan menurut ceritanya, beliau mempunyai darah keturunan daripada darah RADEN. Atas faktor penggunaan nama Raden agak tidak bersesuaian dan membahayakan keluarga pada zaman itu maka nama Radin itu dihapuskan dan hanya menggunakan nama biasa.

Menurut cerita dari anak-anak allahyarham, beliau telah berhijrah dari negeri asalnya di Demak, Indonesia ke Malaysia dan menetap di daerah Muar bersama empat orang adik beradiknya iaitu Kasiban, Badrul, Isnin dan Busu, disamping isteri dan beberapa orang anak. Sebahagian dari anak-anaknya dilahirkan di Demak dan sebahagiannya lagi di Tanah Melayu. Beliau telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Hajjah Sarni binti Rohani. Pasangan ini telah dikurniakan anak seramai 9 orang dimana 8 daripadanya adalah lelaki dan seorang perempuan.

Turutan kesemua sembilan orang anaknya  itu adalah seperti berikut:
1. Sarpan 
2. Salan 
3. Jamari 
4. Paiman
5. Ahmad
6. Kasmirah
7. Zainal
8. Sirat
9. Rahmat

Semasa hayatnya, Allahyarham Kasiban tidak sempat menunaikan rukun Islam yang kelima (fardu haji) dan beliau telah meninggal dunia sekitar tahun 1950an (anggaran 1954) dan isteri beliau pula pada tahun 1995. Pusara Allahyarham Kasiban menurut cerita berada di Muar tetapi sehingga kini tidak diketahui dimana sebenar letaknya pusara tersebut. Manakala pusara Allahyarhamah Hajjah Sarni bt Rohani berada di Tanah Perkuburan Kg. Melayu, Kluang.

Pada peringkat awal, kesemua sembilan adik beradik ini sentiasa berhubung antara satu sama lain. Namun apabila mereka sudah berumahtangga, mereka terpaksa berpisah kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab berat yang harus dipikul dan dijalankan atas faktor kehidupan yang teramat payah dan getir pada ketika itu.

Sarpan (anak yang sulung) telah berhijrah ke Bukit Permai Layang-Layang. Adiknya Salan dan Paiman tinggal di Kg Pancha Jaya, Bekok. Jamari telah berhijrah ke Parit Jambol, Parit Raja Batu Pahat. Ahmad adek yang kelima berhijrah ke Singapura berkhidmat sebagai Polis. Setelah bersara beliau kembali ke semenanjung tinggal di Parit Tengah Muar. Yang lain-lain seperti Zainal, Sirat dan Rahmat tinggal bersama ibunya di Ladang Eldred. Manakala Kasmirah berkahwin dengan orang Indonesia dan mengikut suaminya ke sana. Atas faktor jodoh yang tidak panjang, Kasmirah telah memohon berpisah dengan suaminya dan kembali ke Semenanjung lalu menetap sementara bersama adiknya yang bongsu (Rahmat) .

Paiman (anak kempat) yang agak rapat dengan abangnya (Salan) telah berhijrah ke Parit Jidin, Parit Sulong ditempat mertuanya untuk meneroka tanah baru disana, lalu menetap di Parit Sulung. Begitu juga Zainal, Sirat dan yang bungsu Rahmat, mereka bersama ibunya berhijrah ke Kg Panca Jaya. Kemudian Rahmat berhijrah di Taman Sri Lalang Kluang bersama-sama ibunya Hajjah Sarni bt Rohani dan kakaknya Kasmirah yang dikenali dengan panggilan bibik.

Menurut cerita, nama sebenar anak keduanya adalah Mohd Said bin Kasiban. Oleh kerana keperluan semasa pada ketika itu, namanya telah ditukarkan kepada Salan Bin Kadir. Penukaran nama ini berlaku ketika beliau bekerja di Estet (Ladang Eldred), dan ada cerita mengatakan perkara ini berlaku ketika sebelum berhijrah ke Estet tersebut,   

Seramai enam orang daripada anak beliau telah meninggal dunia. Mereka ialah Sarpan, Salan, Jamari, Zainal, Ahmad dan Sirat. Kini hanya tiga orang anak beliau yang masih hidup iaitu Haji Paiman (anak kempat), Kasmirah (Anak Kenam) dan Rahmat (anak ke Sembilan). 

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, zuriat keturunan dari keluarga Kasiban terus berkembang biak. Mereka tidak tinggal setempat dimana ada yang menetap di Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan yang paling ramai sekali di negeri Johor Darul Takzim. 

Masa terus berlalu ….. apabila sampai kepada zaman peringkat cucu, sebahagian dari mereka masih lagi berhubung antara satu sama lain dan sebahagiannya yang lain sudah mula terputus ……..apatah lagi ianya kini telah sampai keperingkat lahirnya cicit-cicit dan piut- miut kasiban. Kebanyakan dari mereka ini, hanya sebahagiannya sahaja yang mengenali sesama mereka walhal mereka ini adalah talian sedarah daripada Allahyaram Kasiban bin Haji Idris . 

Justeru itu, saya sebagai salah seorang cucu kasiban akan terus berusaha tanpa jemu untuk mencari susur galur keturunan Kasiban kerana saya terpanggil dan merasakan bahawa Keluarga Kasiban ini perlu disatukan dan bergabung semula untuk kebaikan di dunia dan di akhirat kerana ALLAH.

Matlamat Utama Penubuhan Kelab Kasiban’s Family ini adalah untuk:

  • meneruskan hubungan generasi Kasiban supaya dapat saling kenal mengenali di antara satu sama lain terutama generasi yang akan datang;
  • menjaga kebajikan di kalangan keluarga Kasiban dengan cara mengambil sikap ambil tahu dalam kalangan keluarga dan membangunkan ekonomi Kasiban’s Family agar dapat saling bantu membatu; dan
  • kerap mengadakan perjumpaan keluarga dari semasa ke semasa.


Syabas diucapkan dan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli keluarga Kasiban yang memberikan sokongan padu di atas usaha yang murni ini. Kerjasama dari kalian semua amat dihargai, dihormati dan disanjung tinggi

Kepada ahli-ahli keluarga yang masih belum mempunyai Laman Web Facebook adalah amat digalakkan untuk membuka akaun FB sendiri, luangkanlah sedikit masa anda untuk kita bersama-sama menjayakan Kelab Kasiban’s Family ini.

Zaman sekarang adalah zaman sains & teknologi yang serba moden dan canggih yang sering diperkatakan sebagai "DUNIA TANPA SEMPADAN"… Yok, Ayuh,Jom... kita bangun semua bersama memajukan dan membangunkan Kelab Kasiban’s Family. …….

Saya sayang dan rindu kepada kalian semua dan marilah kita bersama-sama membangunkan Kelab Kasiban Family untuk kita semua demi kebaikan bersama.

Cerita Sejarah ini adalah diambil daripada apa yang saya ketahui…melalui kaum kerabat keluarga Kasiban. Justeru itu, sekiranya terdapat sejarah yang mungkin berbeza bolehlah kiranya kita gabungkan semula disamping membetulkan fakta supaya saling lengkap melengkapi.



YaNg jauh kita dekatkan.
yang dekat kite mesrakan
yang mesra kite rapatkan
yang rapat kite satukan♥
★KASIBAN'S FAMILY★


Sekian....
Mohamad Salan
Cucu Kasiban

DiPosting oleh Cicit Kasiban:
Faiz...
http://sabilkhair.blogspot.com/
KASIBAN'S FAMILY COPYRIGHTED

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com